Monday 11 March 2013

Veteran Perang Soviet Jadi Tabib di Afghanistan









SEORANG veteran perang Soviet dilaporkan hilang 33 tahun lalu, ketika berperang di Afghanistan ditemui masih hidup dan bekerja sebagai tabib tempatan di wilayah Heart, Afghanistan.

Media tempatan melaporkan, Bakhretdin Khakimov  diselamatkan penduduk Afghanistan selepas cedera dalam bulan pertama selepas pencerobohan Soviet Union pada 1979, telah dijejaki kumpulan veteran perang berpusat di Moscow.

Beliau berasal dari Uzbekistan itu kini menukar nama kepada Sheikh Abdullah.

Ketika di temui kumpulan itu, beliau mengenakan pakaian penduduk tempatan dan bekerja sebagai tabib  bagi menyembuhkan penyakit penduduk di bandar itu.

Timbalan Ketua jawatankuasa veteran perang Afghanistan, Alexander Lavrentyev berkata, Abdullah mengakui gagal bertutur dalam bahasa Rusia dan tidak pernah menghubungi keluarganya di Uzbekistan selepas mengalami kecederaan parah dan trauma kronik sepanjang berada dalam pertempuran itu.

“Saya bertemu beliau di Herat bulan lalu. Ketika dalam peperangan itu, usia menjelaskan usianya baru menjangkau 20 tahun," katanya.

Menurutnya, kini Abdullah kelihatan sangat tua dan tangannya menggigil.

“Abdullah berkata dia bersyukur dan gembira kerana terselamat,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa pencarian veteran perang berusaha mengesan 29, 264 askar yang masih disenaraikan sebagai orang hilang sepanjang konflik berdarah selama sembilan tahun itu.

“Tujuh daripada mereka dikesan di Afghanistan dan memilih untuk terus tinggal di negara tersebut,” katanya.

Kira-kira 15,000 askar Soviet terbunuh dalam pertempuran antara Kesatuan Soviet ketika cuba mempertahankan kerajaan Marxis Afghanistan, iaitu Republik Rakyat Demokratik Afghanistan, menghadapi Mujahidin Afghanistan yang ingin menggulingkan kerajaan.

Kesatuan Soviet menyokong kerajaan Afghanistan, sementara para mujahidin mendapat sokongan dari banyak negara, seperti Amerika Syarikat dan Pakistan.

Perang ini mempunyai kesan sangat besar dan merupakan salah satu faktor hancurnya Kesatuan Soviet pada 1991. - Reuters


Sumber : Sinar Harian